
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dengan penuh bangga mengumumkan bahawa tenteranya telah memusnahkan 50 menara kediaman di Bandar Gaza dalam tempoh dua hari, dan berikrar akan meneruskan lebih banyak perobohan sebagai persediaan kepada operasi darat besar-besaran.
“Dalam dua hari lalu, 50 menara ini telah tumbang. Tentera udara kami yang menjatuhkannya. Semua ini hanyalah pengenalan – permulaan – kepada operasi darat utama yang sedang disusun dan dihimpunkan di Kota Gaza,” kata Netanyahu dalam satu mesej video.
Beliau turut memberi amaran kepada penduduk Gaza agar segera meninggalkan bandar itu:
“Ini baru permulaan kepada operasi yang lebih besar. Kepada penduduk Gaza: anda telah diberi amaran, keluar dari sana.”
Sementara itu, Hamas mengecam kenyataan Netanyahu itu, menyifatkannya sebagai “bentuk sadisme dan jenayah yang paling keji” yang dilakukan secara terang-terangan di hadapan masyarakat antarabangsa.
Sejak Jumaat lalu, tentera Israel meningkatkan serangan ke atas bangunan berbilang tingkat di Gaza City yang menjadi tempat perlindungan ratusan penduduk awam yang kehilangan tempat tinggal, sekali gus menggandakan pengeboman sebagai strategi untuk menguasai kawasan tersebut.
Menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza, sejak Oktober 2023, lebih 64,500 rakyat Palestin terbunuh akibat serangan Israel. Serangan berterusan itu telah memusnahkan hampir keseluruhan wilayah Gaza, memaksa majoriti penduduknya melarikan diri serta menjerumuskan mereka ke ambang kebuluran.
Pada November tahun lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah mengeluarkan waran tangkap ke atas Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, atas tuduhan jenayah perang serta jenayah terhadap kemanusiaan.
Israel juga sedang berdepan perbicaraan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung dakwaan pembunuhan beramai-ramai ke atas rakyat Palestin.
Namun begitu, Netanyahu tetap bertegas untuk meneruskan kempen ketenteraan di Gaza.
“Ini baru permulaan,” tegasnya.
Sumber: TRT World / AA