
Tentera Israel memusnahkan sekurang-kurangnya 25 menara kediaman di Gaza City dalam tempoh dua hari, ketika Tel Aviv memperluaskan operasi ketenteraannya untuk menawan semula bandar itu.
Menteri Pertahanan Israel, Yoav Katz dalam kenyataan di platform X berkata serangan itu dilakukan bagi “menghapuskan ancaman penembak tepat” terhadap pasukan darat yang mara. Beliau memberi amaran, sekiranya Hamas tidak membebaskan tebusan dan melucutkan senjata, Gaza akan “musnah dan hanya tinggal sebagai monumen kekejaman Hamas.”
Pada Selasa, Israel melancarkan fasa baharu serangan darat di Gaza City, namun saksi tempatan memaklumkan tiada pencerobohan besar-besaran. Sebaliknya, penduduk berdepan tembakan dron, letupan kawalan jauh, dan bedilan artileri yang memaksa ribuan orang melarikan diri.
Menurut tentera Israel, lebih 150 serangan udara dan artileri dilancarkan dalam masa dua hari. Pejabat Media Kerajaan Gaza pula melaporkan lebih 3,600 bangunan dan menara di bandar itu telah dimusnahkan atau rosak teruk sejak 11 Ogos lalu.
Sejak Oktober 2023, hampir 65,000 rakyat Palestin – kebanyakannya wanita dan kanak-kanak – terbunuh akibat serangan berterusan Israel di Gaza. Pengeboman tanpa henti itu menjadikan wilayah berkenaan tidak boleh didiami, selain menyebabkan kebuluran dan penularan penyakit semakin meruncing.
Sumber: Anadolu Agency