SHAH ALAM : Penduduk di Taman Sri Muda kini tidak perlu lagi bimbang kerana paras air Sungai Klang telah menunjukkan trend penurunan sekali gus mengurangkan kebarangkalian berulang lagi tragedi banjir.
Jangkaan tersebut berlaku selepas air sungai melimpah menerusi tebing di kawasan Kunci Pintu Air di sana antara pukul 7 hingga 9 malam tadi.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, pemeriksaan pihaknya di kunci air itu mendapati air Sungai Klang mulai melimpah kira-kira pukul 6 petang semalam.
“Tiada kes ban pecah berlaku di sekeliling kunci air berdekatan sungai tersebut seperti yang berlaku pada minggu lalu.
“Walaupun melimpah, ia tidak mengakibatkan banjir di kawasan tersebut, dengan air sungai mulai surut kira-kira pukul 9 malam,” katanya.
Sebelum ini, hujan lebat telah menyebabkan lebih 20 kawasan di Hulu Langat, Gombak, Petaling, Klang dan Kuala Selangor dilanda banjir kilat.
Terowong Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong (Smart) diaktifkan sepenuhnya selepas didapati ujan lebat itu turut menenggelamkan sebahagian besar kawasan Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), lebih 700 mangsa banjir melibatkan 167 keluarga dipindahkan di Pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah terlibat.
-Diolah dan disunting dari artikel UTUSAN