PalestinSemasa

Parlimen Israel Sokong Langkah Awal Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Negara Ke Atas Serangan 7 Oktober

Parlimen baharu Israel telah mengambil langkah awal yang penting ke arah penubuhan sebuah suruhanjaya siasatan negara bebas bagi menyiasat kegagalan keselamatan sistemik di sebalik serangan mengejut pada 7 Oktober lalu, meskipun ia telah lama ditentang oleh Perdana Menteri sementara, Benjamin Netanyahu.

Dalam proses undian awal di Knesset, seramai 65 penggubal undang-undang mengundi menyokong usul yang ditaja oleh parti Yashar pimpinan Gadi Eisenkot, manakala 50 lagi ahli parlimen mengundi menentang.

Rang undang-undang berkenaan kini akan dibawa ke peringkat jawatankuasa parlimen dan perlu melepasi tiga lagi bacaan seterusnya sebelum diluluskan secara rasmi menjadi undang-undang.

Netanyahu, yang memegang tampuk pemerintahan ketika serangan kilat itu berlaku, secara konsisten menentang penubuhan siasatan berkanun yang dilengkapi kuasa sepina yang luas, sebaliknya cenderung menyokong penubuhan badan siasatan yang dilantik secara politik.

Perpecahan Politik

Rang undang-undang tersebut memperuntukkan bajet berjumlah tujuh juta shekel bagi menubuhkan sebuah suruhanjaya yang dianggotai oleh lima orang ahli, dan badan itu diwajibkan untuk mengeluarkan laporan interim dalam tempoh satu tahun.

Ketika membentangkan rang undang-undang berkenaan, Ahli Parlimen daripada parti Yashar, Orit Farkash-Hacohen menyifatkannya sebagai “permulaan kepada proses memperbetulkan keadaan buat semua warga Israel”.

“Kita mesti memastikan bahawa apa yang berlaku pada hari yang dahsyat itu tidak akan berulang lagi,” tegas beliau.

Kelulusan awal rang undang-undang itu menyusuli pelantikan sekutu rapat Eisenkot, Matan Kahana sebagai Speaker Knesset baru-baru ini, sekali gus membolehkan blok berkenaan memintas tempoh semakan lazim selama 45 hari dan mempercepatkan pembentangan undang-undang keutamaan sebelum barisan kabinet rasmi dimuktamadkan.

Untuk rekod, Eisenkot telah diberikan mandat secara rasmi pada 8 November lalu untuk membentuk pentadbiran baharu dalam tempoh 28 hari, dengan pilihan lanjutan masa selama 14 hari.

Meskipun Eisenkot dan parti Likud telah mengadakan rundingan bagi meneroka kemungkinan pembentukan kerajaan perpaduan, perbincangan tersebut dilaporkan masih gagal mencapai sebarang kata sepakat atau kemajuan.

Sementara itu, parti berhaluan kiri, Demokrat bertindak menghentikan dialog gabungan bersama Eisenkot setelah meluahkan rasa tidak senang terhadap perbincangannya dengan Likud, manakala sekutu sayap kanan, Avigdor Liberman memberi isyarat bahawa pembentukan bakal gabungan pemerintah berkemungkinan akan diumumkan pada minggu hadapan.

Sumber: TRT World & Agensi

Related Articles

Back to top button