PalestinSemasa

Pelan Penempatan Haram E1 Israel Ancaman Langsung Kepada Keamanan — PM Kanada Mark Carney

Perdana Menteri Kanada, Mark Carney, menyifatkan pelan penempatan haram E1 rejim Israel di timur Baitulmaqdis Timur yang diduduki sebagai satu “ancaman langsung kepada keamanan”.

Berucap di luar Sidang Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York, Carney turut mengumumkan pakej bantuan kemanusiaan baharu bernilai CAD71 juta (kira-kira USD71 juta) untuk rakyat Palestin. Daripada jumlah tersebut, sebanyak CAD55 juta disasarkan untuk bantuan kemanusiaan segera manakala CAD16 juta lagi bagi menyokong pembinaan kapasiti keamanan serta latihan kepimpinan polis di wilayah Tebing Barat yang diduduki.

Pelaksanaan Sekatan Perdagangan ke atas Produk Penempatan Haram

Carney mengesahkan bahawa Kanada bersama sekutunya akan melaksanakan sekatan perdagangan yang menyasarkan barangan keluaran dari penempatan haram Israel. Beliau menyifatkan langkah tersebut sebagai tindakan pragmatik demi mencapai keamanan yang berkekalan buat rakyat Israel dan Palestin. Tindakan ini menyusuli langkah terselaras bersama Britain, Perancis, Sepanyol, dan beberapa negara Eropah lain sebelum ini yang mengenakan sekatan terhadap produk asal penempatan haram.

Pihak berkuasa Israel dilaporkan bersiap sedia untuk membuka tender pada 25 Oktober bagi pembangunan 2,167 unit penempatan haram di bawah skim E1 yang kontroversi, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 3,401 unit setelah ditambah dengan 1,234 unit yang ditender pada Ogos lalu.

Pejabat Presiden Palestin sebelum ini memberi amaran bahawa projek strategik rejim itu direka khusus untuk memisahkan wilayah Tebing Barat melalui pencaplokan tanah Palestin bagi menghubungkan penempatan Maale Adumim secara langsung dengan Baitulmaqdis yang diduduki.

Sumber: TRT World dan Agensi

Related Articles

Back to top button