Semasa

Pembentukan IMCA sebagai platform membela hak pengguna serata dunia

KUALA LUMPUR: Pembentukan Persatuan Pengguna Muslim Antarabangsa (IMCA) sebagai platform kolaboratif untuk umat Islam di seluruh dunia bersatu menentang semua cabaran yang menafikan hak dan kedaulatan pengguna Muslim secara amnya

Pengerusinya, Dato’ Nadzim Johan @ Toqqi berkata ia adalah bagi memperkemaskan semua strategi dan agenda semua entiti Islam di seluruh dunia untuk bercakap dalam satu bahasa ke arah kebaikan global dan keamanan dunia dalam perspektif Islam.

Pengerusi Persatuan Pengguna Muslim Antarabangsa (IMCA) Dato’ Nadzim Johan

“Hari ini kita telah wujudkan satu wadah untuk berkongsi ilmu pengetahuan dalam peringkat antarabangsa demi membela nasib dan hak para pengguna Islam seluruh dunia yang sering dipergunakan oleh kapitalis yang mengambil kesempatan.

“Ia menjadi satu titik yang amat penting untuk memberi impak yang positif bukan sahaja di dalam negara tetapi pengguna dari serata dunia, dan ia hanya boleh dilakukan apabila kita semua bersatu,” katanya dalam Majlis Mini Forum Kebaikan Global dan Keamanan Dunia bersama IMCA hari ini.

Dalam pada itu, Datuk Lokman Hakim Pfordten dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif IMCA melalui persetujuan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bersama-sama dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain.

Pengalaman Datuk Lokman dalam memimpin Global Ikhwan Holdings Sdn Bhd, sebuah konglomerat yang besar dan berjaya berkembang ke 17 negara akan dapat memenuhi kekosongan yang terdapat dalam rantaian barangan Muslim dari serata dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pengguna Muslim Antarabangsa (IMCA), Datuk Lokman Hakim Pfordten

“Saya diberi amanah untuk membawa satu misi di peringkat global, harapan saya adalah bukan saja memberi manfaat kepada pengguna Islam sahaja, tetapi juga kepada seluruh umat manusia tidak kira agama  di atas muka bumi ini agar dapat kembali hidup aman damai dan bahagia,” katanya.

Majlis itu turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) (Dr.) Sani Araby Al-Kahery diiringi Setiausaha Agung MAPIM Malaysia, PPj Bersekutu (PA) Zulhanis Zainol.

(Dr.) Sani Araby mengambil kesempatan untuk menzahirkan ucapan terima kasih atas pelantikan bermakna ini dan mendoakan semoga amanah beliau akan memperkasakan lagi ekonomi umat Islam di seluruh dunia.

“Saya mengenali Datuk Lokman bukan sekadar individu yang berjaya mengembangkan empayar Global Ikhwan Sdn Bhd di seluruh dunia tetapi juga sebagai individu yang punyai semangat memajukan ummah dalam kerangka Islam yang syumul. Jadi pelantikan beliau sebagai CEO IMCA sangat tepat sekali” katanya. 

Antara tokoh yang hadir adalah Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan , YBhg. Dato’ Haji Zainal Abidin Sakom, Pengurus Besar YBK Muhammad Sherhan Nizam Abdul Aziz, Pengerusi SUHAKAM, Profesor Datuk Dr Rahmat Mohamad, Pengasas rangkaian Restoran Ali Maju, Dato’ Jawahar Ali dan Pengerusi Yayasan Bina Kesejahteraan – YBCare, Datin Dr. Hajah Hartini Osman.

Mini Forum ‘Kebaikan Global Dan Keamanan Dunia Bersama IMCA’ turut diadakan dengan Pengasas Iqra For Change, Tengku Rozidar Tengku Zainal Abidin selaku moderator.

Untuk rekod, IMCA adalah sebuah pergerakan pengguna Islam sedunia yang berpusat di Malaysia ditubuhkan untuk menggembleng suara pengguna Islam seluruh dunia dalam memberikan kesedaran kepenggunaan dan menjaga serta mengembalikan hak mereka dengan bijaksana.

Related Articles

Back to top button