Pemimpin Jerman Gesa EU Kenakan Sekatan Ke Atas Menteri Israel Itamar Ben-Gvir

Naib Canselor Jerman, Lars Klingbeil, telah mendesak Kesatuan Eropah (EU) supaya mempertimbangkan sekatan secara serius terhadap Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben-Gvir, berikutan kenyataan ekstremis menteri berkenaan yang disifatkan sebagai “tidak berperikemanusiaan.”

Dalam satu temu bual bersama penyiar Sat.1, Klingbeil mengecam keras kenyataan Ben-Gvir yang menyeru tindakan pembunuhan beramai-ramai dan peningkatan serangan udara secara besar-besaran ke atas Gaza.

Menteri Israel yang berfahaman kanan melampau itu sebelum ini secara terbuka mendesak agar tentera Israel membunuh antara “30 hingga 40” rakyat Palestin setiap hari, selain memperbaharui gesaan untuk merampas tanah serta menempatkan semula peneroka Israel di wilayah Palestin.

Didesak Kenakan Larangan Perjalanan ke Eropah

Kenyataan keterlaluan Ben-Gvir turut mencetuskan kemarahan rentas parti di Jerman. Ketua bersama Parti Hijau Jerman, Franziska Brantner, menggesa kerajaan Persekutuan Jerman untuk mengambil tindakan tegas serta-merta.

“Saya menggesa kerajaan Jerman untuk mengenakan larangan masuk ke atas lelaki ini dan menyokong agar sekatan serupa dikenakan di peringkat Eropah,” kata Brantner kepada portal media Politico.

Langkah itu turut mendapat sokongan daripada pembangkang. Jurucakap dasar luar bagi kumpulan parlimen Kesatuan Demokratik Kristian/Kesatuan Sosial Kristian (CDU/CSU), Jurgen Hardt, menggesa EU mengambil tindakan punitive ke atas Ben-Gvir yang secara terang-terangan menyokong pembunuhan berpuluh-puluh rakyat Palestin setiap malam.

Seruan daripada para pemimpin politik Jerman ini menambah tekanan diplomatik ke atas blok Kesatuan Eropah untuk mengenakan sekatan rasmi ke atas pegawai-pegawai kanan Israel yang terus mencetuskan provokasi dan keganasan di Gaza.

Sumber: Laporan TRT World & Agensi

Exit mobile version