PalestinSemasa

Penunjuk Perasaan Pro-Palestin Sekat Kilang Peluru Jerman Bantah Eksport Senjata ke Israel

Sekumpulan aktivis pro-Palestin bertindak menyekat pintu masuk ke sebuah loji peluru milik syarikat pertahanan Diehl Defence di timur Jerman pada awal pagi Isnin bagi menuntut penghentian segera eksport senjata negara itu ke Israel.

Lebih 50 aktivis mengadakan demonstrasi duduk di kilang Spreewerk Luebben, sekali gus melancarkan siri protes selama seminggu anjuran kumpulan Peacefully Against Genocide yang membantah kerjasama Diehl Defence dengan syarikat pengeluar senjata Israel, Elbit Systems dan Rafael.

“Protes ini hanyalah permulaan kepada minggu bantahan oleh Peacefully Against Genocide. Dalam beberapa hari akan datang, kami berhasrat untuk memperhebatkan lagi tindakan dan turun berdemonstrasi di hadapan lebih banyak kilang senjata,” menurut kenyataan kumpulan aktivis tersebut.

Kumpulan itu turut menuduh kerajaan Jerman terus membenarkan eksport senjata ke Israel meskipun konflik dan serangan berterusan di Gaza.

“Kerajaan kami terus melesenkan eksport senjata ke Israel dan menjadikan dirinya bersubahat dalam pembunuhan beramai-ramai. Kita semua mempunyai tanggungjawab untuk menentang perkara ini,” tegas kenyataan itu lagi.

Untuk rekod, Spreewerk Luebben yang merupakan sebuah kilang peluru tinggalan era bekas Jerman Timur telah diambil alih oleh Diehl Defence dan Tauber Group pada tahun 2024.

Pengeluaran peluru di tapak berkenaan disambung semula pada musim panas 2026, dengan perancangan untuk memperluaskan operasi menjelang tahun 2027 bagi menghasilkan artileri dan roket.

Sumber: Agensi Anadolu (Anadolu Ajansı)

Related Articles

Back to top button