DomestikSemasa

PM Anwar Seru Generasi Muda Hayati Sejarah, Maknai Kemerdekaan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyeru generasi masa kini untuk menghayati lembaran sejarah perjuangan negara dan memaknai erti sebenar kemerdekaan yang telah dikecapi hasil pengorbanan generasi terdahulu.

Berucap ketika merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 (MPBKKJG 2026) di sini hari ini, Anwar menegaskan bahawa pahit getir perjuangan yang menuntut darah, keringat, dan air mata para pejuang terdahulu harus mengajar rakyat untuk menghargai kesenangan yang dinikmati pada masa kini.

“Hari ini, kita dapat memulakan tradisi yang bukan sekadar membanggakan, tetapi memaknai erti kemerdekaan. Kita memulakan dengan mengimbau lembaran sejarah, kemudian menyemarakkan dengan mengibarkan bendera sebagai tanda persamaan kita dan seterusnya mengorak langkah memastikan masa depan yang lebih cerah dan gemilang.

“Pahit getir perjuangan yang sukar dengan darah, keringat dan air mata. Gabungan ketiga-tiga inilah yang menghasilkan kemerdekaan. Jadi, anak-anak jangan lupa perkara ini,” kata beliau.

Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang, dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.

Jangan Beri Ruang Agenda Pecah Belah

Dalam pada itu, Anwar turut mengingatkan seluruh rakyat Malaysia yang berbilang kaum agar tidak memberikan sebarang ruang kepada pihak yang cuba memecahbelahkan perpaduan, yang sekian lama menjadi tunjang kekuatan utama negara.

Beliau menjelaskan bahawa keunikan dan kekuatan sebenar Malaysia terletak pada kemampuan rakyatnya untuk saling menghormati kepelbagaian dan perbezaan kaum.

“Kekuatan Melayu bersama Cina, India, Dayak, Kadazan itu juga harus ada. Jangan izinkan orang memperkotak-katikkan dan memecahbelahkan kita kerana negara ini merdeka dengan kekuatan bersama semua rakyat Malaysia,” tegas beliau.

Hayati Cogan Kata “Bersekutu Bertambah Mutu”

Perdana Menteri turut menyeru rakyat supaya menghayati semula cogan kata kemerdekaan negara, “Bersekutu Bertambah Mutu”, yang menurut beliau kekal relevan sebagai asas pembinaan sebuah negara bangsa yang bersatu padu.

“Tunku Abdul Rahman Al-Haj, Perdana Menteri yang pertama kemerdekaan Tanah Melayu dan Malaysia, dia pilih apa motonya, ‘Bersekutu Bertambah Mutu’. Bersekutu kerana semua berbeza, berbeza kaum, berbeza agama, berbeza budaya dan wilayah. Tetapi kalau kita berpakat, bersekutu, (akan) bertambah mutu. Itu logik yang sudah dikenali,” jelas beliau.

Sebagai simbolik pelancaran acara yang dihadiri kira-kira 3,000 tetamu itu, Anwar menyerahkan bendera Jalur Gemilang berukuran 6×12 kaki persegi kepada pasukan sembilan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi upacara menaikkan bendera.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan nyanyian lagu Negaraku, bacaan ikrar Rukun Negara, serta persembahan medley lagu-lagu patriotik sebelum Perdana Menteri meluangkan masa menyantuni para tetamu yang hadir.

Turut dilancarkan pada majlis berkenaan ialah lagu tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 (HKHM 2026) berjudul Aku Berjanji, yang merupakan hasil ciptaan dan nyanyian penyanyi terkenal, Faizal Tahir.

— BERNAMA

Related Articles

Back to top button