KOTA KINABALU : Tular satu video di laman sosial memaparkan seorang wanita meloloskan diri dari kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) menerusi pagar kawat duri di Bandaran Berjaya, semalam.
Pesuruhjaya Polis Sabah Hazani Ghazali berkata, pihaknya menerima laporan selepas video berdurasi 30 saat itu dimuat naik kira-kira jam 8.30 malam, menyaksikan seorang wanita berbaju putih dan berseluar jean menyelinap melalui kawat duri sebelum melarikan diri ke bangunan berhampiran.
Bermula semalam kawasan Bandaran Berjaya adalah antara yang dikenakan PKPD sehingga 25 Julai depan.
Pihak polis sedang menjalankan siasatan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil membantu siasatan.
“Kita nasihatkan kepada orang ramai yang berada di kawasan PKPD supaya terus mematuhi undang-undang yang ditetapkan.
“Ia bukan saja membahayakan diri masing-masing tetapi juga boleh dikenakan tindakan tegas kerana melakukan kesalahan melanggar perintah PKPD,” katanya ketika dihubungi FMT.
-FMT
Oleh : Nurshazlin Shahrom (Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media)