
Rakyat Malaysia wajar berasa bangga dengan pencapaian Ringgit Malaysia yang diiktiraf sebagai mata wang berprestasi terbaik di Asia selama dua tahun berturut-turut.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pengiktirafan tersebut merupakan satu kejayaan besar yang mencerminkan kekuatan asas ekonomi negara hasil usaha Kerajaan MADANI.
Beliau menjelaskan bahawa pada masa ini, ringgit menunjukkan prestasi yang sangat memberangsangkan berbanding mata wang utama dan serantau, dengan kadar sekitar RM3.95 berbanding dolar Amerika Syarikat (USD) dan RM3.10 berbanding dolar Singapura (SGD).
“Ini adalah satu pencapaian yang baik. Dalam tempoh dua tahun ini, kita dapat melihat secara realitinya ringgit adalah antara mata wang Asia yang mempunyai prestasi sangat cemerlang.
“Pengiktirafan ini diberikan kepada usaha Malaysia itu sendiri. Ia sepatutnya menjadi kebanggaan kita semua tanpa mengira sebarang perbezaan fahaman politik,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Kempen Internet Selamat di Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail, Pagoh, hari ini.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah serta pengurusan tertinggi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyatakan bahawa prestasi cemerlang ringgit ini adalah bukti keyakinan pasaran global terhadap kestabilan ekonomi Malaysia. Anwar menegaskan bahawa pertumbuhan kukuh ini disokong oleh peningkatan pelaburan asing yang masuk ke dalam negara secara konsisten.
BERNAMA






