Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Slim, akan bermula jam 9:00 pagi ini dengan proses penamaan calon.
Bakal-bakal calon diberi tempoh selama hanya sejam untuk mengemukakan borang pencalonan.
Suruhanjaya pilihan raya SPR, berkata hanya calon pencadang dan penyokong sahaja dibenarkan memasuki pusat penamaan calon.
Langkah atau peraturan baharu ini adalah berikutan SOP yang ditetapkan ekoran wabak Covid-19 yang juga memutuskan tiada sebarang perarakan atau perhimpunan dibenarkan.
Sedikit sebanyak garis panduan ini menjejsakan situasi biasa mana-mana pilihan raya kecil yang hangat dengan slogan dan laungan penyokong parti-parti bertanding.
Pengumuman calon yang layak bertanding akan diberikan oleh Pegawai Pengurus PRK iaitu Shamsul Ridzuan Idris.
Setakat semalam, 12 set borang pencalonan sudah dijual.
Barisan Nasional (BN) pada Rabu lalu mengumumkan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz, 43, sebagai calon bagi mempertahankan kerusi DUN berkenaan.
manakala peguam Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, dinamakan sebagai calon mewakili kumpulan penyokong bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Amir Khusyairi akan bertanding atas tiket Bebas memandangkan parti baharu Dr Mahathir, Pejuang belum didaftarkan.
PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai.
Pengundian ditetapkan pada 29 Ogos depan.
Pada PRU14, Mohd Khusairi yang mewakili BN menang dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal. – BERNAMA