InspirasiSemasa

Qaseh Qhatijah Tan tenang dengar alunan ayat suci Al-Quran

BANDA HILIR: Membaca Al-Quran setiap pagi menjadi rahsia Qaseh Qhatijah Tan, 30, mudah menghafaz setiap bait ayat suci itu sehingga berjaya merangkul gelaran johan hafazan Al-Quran kategori wanita sempena Mahrajan Amal Islami Mualaf Peringkat Kebangsaan tahun lalu.

Menurut suri rumah yang berasal dari Ranau, Sabah itu, beliau membuktikan tempoh singkat bergelar ‘saudara baharu’ bukanlah penghalang untuknya terus mendalami agama Islam sejak 5 tahun lalu.

Menurut Qaseh Qatijah, meskipun proses penghijrahan sebagai saudara baharu banyak menerima rintangan, namun beliau bersyukur keluarga menerima keputusannya untuk memeluk Islam.

Kredit foto melakahariini dot my


“Syukur Alhamdulillah, menerusi Kelas Fardhu Ain Mualaf (KAFAF) anjuran Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), pelbagai perkara asas dan cara hidup Islam dapat saya amalkan.”

“Kadang kala saya ikut sekali aktiviti mereka di Balai Islam anjurkan. Hati saya rasa tenang dengar orang berselawat dan mengaji.”

“Untuk mudah menghafaz, saya meletakkan kewajiban pada diri untuk membaca Al-Quran setiap pagi dan dengan izin Allah mudah untuk menghafaz lepas kerap membaca,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Apresiasi Mualaf Negeri Melaka yang dirasmikan oleh Timbalan Pengerusi MAIM, Datuk Wira Md Rawi Mahmud, pada Ahad.


Beliau yang juga antara penerima Anugerah Pelajar KAFAF Cemerlang pada majlis apresiasi itu turut menitipkan pesan buat saudara baharu yang memeluk Islam.

“Pesan saya kepada saudara baharu yang lain, jaga hati dengan baik, percakapan yang baik, kentalkan hati, kuatkan semangat dan sentiasa pesan pada hati nak ubah kehidupan ke arah lebih baik.”

“Sepanjang proses berhijrah kena beri ruang pada diri untuk belajar terlebih dahulu apabila bersedia baru boleh berkumpul semula dengan rakan lama,” katanya yang telah menetap di Melaka selepas berkahwin tiga tahun lalu. – MHI

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button