Perdana Menteri Qatar menolak dakwaan bahawa Doha membiayai Hamas, sambil menegaskan negara itu tidak akan menanggung kos untuk membina semula kemusnahan yang berpunca daripada tindakan ketenteraan Israel di Gaza.
Dalam sesi wawancara bersama pengulas Amerika Syarikat, Tucker Carlson, di Forum Doha 2025 pada Ahad, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani menjelaskan bahawa hubungan Qatar dengan Hamas bermula lebih sedekad lalu atas permintaan Washington sendiri, bagi membuka saluran komunikasi dan memudahkan rundingan gencatan senjata.
Beliau berkata pejabat Hamas di Doha digunakan semata-mata sebagai pusat komunikasi untuk penyelarasan bantuan serta usaha perantaraan, dan bukan sebagai saluran pembiayaan kumpulan tersebut.
Menurut Sheikh Mohammed, tuduhan bahawa Qatar menyalurkan dana kepada Hamas adalah tidak berasas kerana semua bantuan yang dihantar ke Gaza melalui proses pemantauan yang telus dan dipersetujui sepenuhnya oleh Amerika Syarikat. Malah, katanya, penyampaian bantuan ke wilayah itu turut diluluskan oleh kerajaan Israel sejak dahulu lagi.
Dalam kenyataan yang lebih tegas, Perdana Menteri Qatar menolak desakan supaya Doha membayar kos pembinaan semula Gaza selepas serangan udara Israel, sambil menekankan bahawa negara itu hanya bertanggungjawab membantu rakyat Palestin, bukan menanggung kerosakan yang dilakukan pihak lain.
“Kami akan terus membantu rakyat Palestin dan mengurangkan penderitaan mereka, tetapi kami bukan pihak yang akan menulis cek untuk membina semula apa yang dimusnahkan orang lain,” katanya. Namun, beliau menegaskan Qatar tidak akan membiarkan rakyat Palestin terabai atau tanpa sokongan.
Gencatan senjata yang ditengahi oleh Türkiye, Mesir dan Qatar, dengan sokongan Amerika Syarikat, berkuat kuasa pada 10 Oktober, menghentikan perang dua tahun yang telah meragut lebih 70,000 nyawa di Gaza dan mencederakan hampir 171,000 penduduk sejak 2023, majoritinya wanita dan kanak-kanak.
Sumber: AA