
Kerajaan Negeri Selangor menegaskan komitmennya untuk meletakkan pembangunan Islam sebagai teras utama dalam penggubalan dan pelaksanaan dasar negeri. Pendekatan ini akan dilaksanakan secara tersusun dengan berpaksi kepada prinsip Maqasid Syariah, iaitu bertujuan memelihara lima perkara asas: agama, nyawa, akal, keturunan, dan harta.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menjelaskan bahawa pendekatan ini diterjemahkan melalui tadbir urus hal ehwal Islam yang berkesan, melibatkan sinergi antara Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), serta agensi-agensi agama negeri yang lain.
“Kerajaan negeri kekal komited menyokong penuh usaha membawa umat Islam mendekati dan menghayati al-Quran sebagai panduan hidup. Kita juga memberi perhatian besar terhadap pembangunan ilmu dan pendidikan Islam kerana ia adalah asas pembinaan tamadun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pembukaan Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Negeri Selangor 1447H/2026M di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini hari ini.
Menurut Amirudin, pelaburan berterusan sedang dilakukan dalam pembangunan institusi pendidikan seperti sekolah agama, tahfiz, pondok, serta program Akademi Literasi al-Quran Selangor (ALAS). Inisiatif ini bermatlamat melahirkan generasi yang bukan sahaja berilmu dan berfikiran kritis, malah berakhlak mulia untuk memimpin masyarakat masa hadapan.
Mengulas lanjut, Amirudin menekankan keyakinan kerajaan negeri bahawa kemajuan ekonomi yang mampan mesti seiring dengan kekuatan ilmu dan kesuburan spiritual.
“Di Selangor, pembangunan ekonomi sentiasa diseimbangkan dengan pemerkasaan modal insan, keadilan sosial, dan nilai kemanusiaan. Inilah semangat Malaysia MADANI yang kita junjung, menyeimbangkan antara kemajuan dan nilai, teknologi dan akhlak, serta pertumbuhan dan kemanusiaan,” tambahnya.
Majlis tilawah dan hafazan peringkat negeri yang berlangsung selama empat hari itu disertai oleh 54 peserta, bagi memilih wakil Selangor ke peringkat kebangsaan di Terengganu pada April depan.
Sumber: BERNAMA







