DomestikSemasa

Pendirian Malaysia Terhadap Pelan Damai AS dan Persediaan Tahun Melawat Malaysia 2026 Jadi Tumpuan Dewan Rakyat Hari Ini

Pendirian Malaysia terhadap pelan damai yang dikemukakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, bagi menyelesaikan konflik Palestin-Israel menjadi antara tumpuan utama sesi Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat yang dimuat naik di laman rasmi Parlimen, Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN–Paya Besar) akan mengemukakan soalan kepada Perdana Menteri mengenai sejauh mana pelan damai tersebut sejajar dengan pendirian Malaysia dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin dan mempertahankan kedaulatan negara berkenaan.

Selain isu Palestin, persediaan kerajaan menjayakan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 turut menjadi agenda penting apabila Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN–Masjid Tanah) meminta penjelasan berhubung langkah promosi antarabangsa, penglibatan kerajaan negeri serta pelaksanaan prinsip value for money dalam perbelanjaan promosi pelancongan negara.

Turut mendapat perhatian ialah soalan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN–Rantau Panjang) kepada Menteri Kewangan mengenai keberkesanan pelaksanaan Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dalam membantu golongan B40, khususnya berkaitan laporan kelewatan bayaran di kawasan luar bandar.

Selepas sesi soal jawab lisan, Dewan Rakyat akan meneruskan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 bagi hari kedua di peringkat dasar. Menurut takwim rasmi, sesi perbahasan di peringkat dasar berlangsung selama lapan hari bermula semalam hingga 28 Oktober, manakala perbahasan peringkat jawatankuasa dijadual dari 5 hingga 27 November.

BERNAMA

Related Articles

Back to top button