Smotrich Tolak Pelan Gaza Trump

Menteri Kewangan Israel berhaluan kanan, Bezalel Smotrich, secara terbuka menolak rancangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk Gaza, sebaliknya menggesa pengusiran paksa rakyat Palestin dan penubuhan petempatan haram Israel di wilayah yang dikepung itu.

Dalam satu kenyataan tegas pada hari Isnin, Smotrich turut mendesak penutupan serta-merta pusat penyelarasan pimpinan AS di Gaza. Beliau melabelkan negara-negara yang terlibat dalam pusat tersebut, khususnya Mesir dan Britain, sebagai “negara bermusuhan” yang perlu disingkirkan daripada operasi berkenaan.

“Gaza adalah milik kita dan masa depannya akan mempengaruhi masa depan kita lebih daripada masa depan orang lain,” kata Smotrich seperti yang dilaporkan oleh media Israel.

Desak Pentadbiran Tentera Sepenuhnya

Smotrich menegaskan pendiriannya bahawa Israel perlu mengenakan pentadbiran tentera di Gaza, satu langkah yang menyamai pendudukan penuh, bagi “menyelesaikan misi” perang mereka.

Beliau turut mengkritik pelan damai yang diusulkan oleh sekutu kuat Israel itu.

“Kita mesti menjelaskan kepadanya (Trump) bahawa rancangannya buruk untuk Negara Israel dan membatalkannya,” tegas beliau lagi.

Kenyataan ini hadir ketika ketegangan memuncak mengenai pengurusan Gaza pasca-perang. Smotrich secara khusus menyasarkan pusat penyelarasan awam-tentera yang berpangkalan di penempatan Kiryat Gat di selatan Israel.

Pusat yang ditubuhkan pada Oktober lalu oleh Markas Pemerintah Pusat AS (CENTCOM) itu melibatkan wakil dari berpuluh-puluh negara dan organisasi antarabangsa bagi menyelia pelaksanaan rancangan Trump.

Gesaan Pengusiran Rakyat Palestin

Selain menolak kerjasama antarabangsa, menteri kontroversi itu turut menggesa agar lintasan Rafahyang kini dikawal oleh tentera Israel di bahagian Palestin dibuka semula.

Walau bagaimanapun, gesaan pembukaan itu bukan untuk tujuan bantuan kemanusiaan, sebaliknya untuk membenarkan rakyat Palestin di Gaza “meninggalkan dan mencari masa depan di tempat lain.” Kenyataan ini dilihat oleh pemerhati antarabangsa sebagai satu lagi gesaan terbuka ke arah pembersihan etnik di wilayah tersebut.

Kenyataan Smotrich ini dijangka mengeruhkan lagi hubungan diplomatik antara Israel dengan negara-negara perantata seperti Mesir, serta menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan pelan damai tajaan AS di rantau berkenaan.

Sumber: TRT World

Exit mobile version