Sukan SEA: “Perjuangan Kita Belum Selesai” – CDM Nurul Huda

Kontinjen Malaysia tidak berhasrat untuk memperlahankan aksi di Sukan SEA Thailand 2025 meskipun telah mencapai sasaran 200 pingat, kata Ketua Kontinjen (Chef de Mission) Nurul Huda Abdullah.

Nurul Huda menegaskan kempen negara belum tamat walaupun temasya ke-33 itu dijadual menutup tirai di Stadium Nasional Rajamangala esok. Beliau menyeru semua pihak terus berjuang untuk meraih lebih banyak pingat, sambil menekankan pencapaian setakat ini adalah hasil usaha kolektif atlet, pengurus pasukan, persatuan sukan kebangsaan dan badan sukan utama.

Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada bekas Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, atas sokongan dan kepercayaan berterusan terhadap pembangunan sukan negara, dan mendoakan kejayaan beliau dalam portfolio baharu sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).

Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, pula berharap atlet terus fokus dan berusaha membawa pulang sebanyak mungkin pingat emas dari Thailand.

Setakat malam tadi, Malaysia merekodkan 204 pingat, terdiri daripada 46 emas, 49 perak dan 109 gangsa, manakala Thailand kekal di tangga teratas dengan 197 emas, 130 perak dan 93 gangsa. Sukan SEA Thailand 2025 berlangsung dari 9 hingga 20 Disember di Bangkok dan Chonburi.

Sumber: BERNAMA

Exit mobile version