Covid19Semasa

Sultan Selangor zahir dukacita penjualan sijil Covid-19 palsu

SHAH ALAM : Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita berkenaan kewujudan aktiviti penjualan sijil vaksin Covid-19 kepada orang ramai.

Menerusi satu hantaran di Facebook Selangor Royal Office, baginda terkejut dengan modus operandi (MO) melibatkan seorang doktor sebuah klinik di Gombak bersama enam pembantunya yang ditahan oleh polis Selangor apabila tergamak mencemarkan etika perubatan profesional.

“Menerusi siasatan awal, selain daripada memalsukan sijil vaksin Covid-19 menerusi sistem aplikasi MySejahtera, suntikan kosong dengan membuang cecair vaksin Covid-19 yang dibekalkan oleh Kementerian Kesihatan kepada 5,601 pelanggan yang tergolong dalam kalangan anti-vaksin.

“Baginda meminta pihak-pihak berkuasa di Selangor supaya menyiasat, menangkap dan mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang didapati menyalah guna kuasa sebagai pengamal perubatan,” katanya.

Jelasnya, insiden berkenaan boleh menjejaskan usaha kerajaan dan Kementerian Kesihatan untuk menghentikan penularan wabak Covid-19 di Malaysia.

Justeru baginda meminta supaya mereka terlibat dan didapati bersalah dijatuhkan hukuman paling berat.

Menurut kenyataan itu lagi, lebih mendukacitakan Sultan Sharafuddin apabila pengamal perubatan yang sanggup melakukan perkara yang keji dan berdosa demi memperoleh kekayaan segera adalah dalam kalangan mereka beragama Islam dan berbangsa Melayu.

“Bilakah kemelut wabak Covid-19 yang telah membelenggu dunia dan mengorbankan jutaan nyawa sejak 2 tahun lalu ini akan berakhir jika kegiatan sebegini terus berleluasa, ditambah pula dengan kedegilan golongan anti-vaksin?

“Baginda berharap tidak ada pihak yang mengambil kesempatan untuk kepentingan peribadi semata-mata tanpa mempedulikan kesan buruk yang boleh berlaku terhadap masyarakat khususnya apabila membabitkan hal ehwal kesihatan awam,” katanya.

Sultan Sharafuddin bertitah lagi, rakyat di negara ini tidak akan mampu lagi berhadapan krisis kesihatan kesan daripada penularan wabak penyakit seperti Covid-19 yang telah melumpuhkan ekonomi dan menjejaskan kehidupan harian.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button