SemasaSukan

Myanmar henti kemaraan Malayan Tigress ke separuh akhir Sukan SEA 2025

Pasukan bola sepak wanita kebangsaan, Malayan Tigress, tersingkir daripada saingan Sukan SEA Thailand 2025 selepas tewas 0-3 kepada Myanmar dalam aksi Kumpulan B di Chonburi hari ini, sekali gus mencatat kekalahan kedua berturut-turut.

Di Universiti Sukan Kebangsaan Thailand Chonburi, Myanmar mendahului 2-0 pada separuh masa pertama melalui jaringan San Thaw Thaw pada minit ke-26 dan May Htet Lu pada minit ke-35. Pada babak kedua, Malaysia cuba bangkit, tetapi menerima tamparan apabila Adrienna Zamzaihiri dilayangkan kad merah pada minit ke-60 sebelum Theingi Tun menambah gol ketiga lima minit kemudian.

Ketua jurulatih Malaysia, Joel Cornelli, berkata beliau berpuas hati dengan semangat juang pemain walaupun berdepan antara pasukan terhebat rantau ini. Beliau yakin pasukan mampu mencapai keputusan lebih baik pada edisi akan datang dengan latihan dan sokongan mencukupi, termasuk pembiayaan yang lebih mantap untuk pasukan wanita.

“Kita mempunyai lebih dua tahun untuk mempersiapkan pasukan ke Sukan SEA seterusnya. Dengan latihan lebih intensif dan sokongan kukuh, saya yakin kita boleh membina pasukan lebih kuat,” kata Cornelli.

Malaysia akan melengkapkan aksi kumpulan menentang Filipina pada Khamis ini. Pada aksi pembukaan kumpulan Jumaat lepas, skuad wanita negara tewas 0-7 kepada juara bertahan Vietnam.

Ini merupakan edisi kelima berturut-turut skuad wanita kebangsaan gagal melangkah ke separuh akhir, dengan pencapaian terakhir berlaku pada edisi 2013 di Myanmar.

Sumber: Bernama

Related Articles

Back to top button