PalestinSemasa

Tentera Israel Merobohkan Kediaman dan Premis Perniagaan di Tebing Barat

Operasi perobohan harta benda milik warga Palestin di Tebing Barat yang diduduki terus meningkat selepas tentera Israel merobohkan sebuah kediaman dan bilik pameran kenderaan pada Isnin.

Menurut aktivis tempatan, Iyad Masharqa, pihak tentera menyerbu kawasan kejiranan al-Qasr di kampung al-Hijra, tenggara Dura (Hebron) dan merobohkan sebuah rumah kediaman seluas 200 meter persegi. Pihak tentera turut bertindak meratakan tanah sekeliling, mencabut pokok-pokok buah-buahan, serta memusnahkan dinding dan perigi air milik pemilik rumah berkenaan.

Sementara itu di Baitulmaqdis Timur, jentolak tentera Israel merobohkan sebuah bilik pameran kereta di bandar Hizma. Menurut kenyataan Pejabat Gabenor Baitulmaqdis, akses pintu masuk dan keluar bandar tersebut ditutup sepenuhnya kepada lalu lintas kenderaan dan pejalan kaki sepanjang operasi perobohan dijalankan.

Bandar Hizma dilaporkan sering menghadapi siri serbuan, penutupan laluan, serta penyerahan notis perobohan struktur kediaman dan komersial sejak beberapa bulan lalu. Pihak berkuasa merekodkan sebanyak 44 operasi perobohan dan meratakan tanah di seluruh Baitulmaqdis pada Oktober lalu, selain mengeluarkan 41 notis arahan penghentian pembinaan dan pemindahan.

Sejak Oktober 2023, siri serbuan tentera dan pencerobohan peneroka haram di Tebing Barat semakin dipergiat, mencetuskan krisis rampasan tanah, pemusnahan harta benda, serta pengusiran paksa komuniti Palestin.

Sumber Maklumat: Anadolu Agency (AA)

Related Articles

Back to top button