
Tentera Israel memerlukan tambahan 10 bilion shekel (kira-kira RM11 bilion) untuk mengembangkan operasi ketenteraannya di Semenanjung Gaza, menurut laporan akhbar harian Israel, Yedioth Ahronoth. Langkah ini bagaimanapun mendapat bantahan keras daripada Kementerian Kewangan Israel.
Laporan itu menyatakan bahawa kos besar diperlukan susulan pembaharuan serangan di Gaza sejak 18 Mac, selepas Israel memutuskan gencatan senjata dan perjanjian pertukaran tahanan pada 19 Januari. Dana tambahan itu akan digunakan untuk merampas kira-kira 40% wilayah Gaza dalam beberapa minggu akan datang, meningkatkan keselamatan penempatan Israel berhampiran sempadan, dan menghalang serangan roket.
Seorang pegawai kanan Kementerian Kewangan berkata, “Tidak dapat dibayangkan bahawa selepas hampir RM130 bilion telah diperuntukkan, termasuk dana rizab RM11 bilion, masih ada lagi RM11 bilion ditambah kepada belanjawan pertahanan.” Menurut akhbar ekonomi Israel Calcalist, Israel telah membelanjakan 250 bilion shekel (RM283 bilion) sepanjang 2024 untuk kempen ketenteraannya di Gaza.
Serangan Israel di Gaza sejak Oktober 2023 telah mengorbankan lebih 51,200 rakyat Palestin, majoritinya wanita dan kanak-kanak. Israel kini berdepan tekanan antarabangsa, dengan waran tangkap dikeluarkan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa pada November lalu terhadap Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant atas jenayah perang dan kemanusiaan. Israel juga menghadapi tuduhan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa.
Sumber: Agensi Anadolu, Yedioth Ahronoth