Trump puji peranan Anwar dalam kejayaan perjanjian damai Thailand-Kemboja

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump memuji kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas peranan penting Malaysia dalam membantu memeterai perjanjian damai antara Thailand dan Kemboja minggu lalu.

Bercakap pada Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC CEO Summit Korea 2025), Trump berkata konflik antara kedua-dua negara itu sebelum ini berada pada tahap berbahaya dengan pertempuran dan ketegangan berterusan.

Menurutnya, rundingan damai berjaya dimuktamadkan hasil kebijaksanaan diplomasi Malaysia yang bertindak sebagai pengantara semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan mesyuarat berkaitan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Selepas kira-kira dua hari, dengan bantuan Malaysia yang menyediakan kemudahan dan sokongan yang baik, perjanjian itu dapat diselesaikan. Malaysia hebat dan banyak membantu, dan Perdana Menteri Anwar juga seorang yang luar biasa. Saya baru sahaja meninggalkan beliau dan dalam tempoh dua hari, perjanjian itu ditandatangani. Kedua-dua pihak datang seperti sahabat karib, dan ia satu pemandangan yang indah untuk disaksikan. Kita mungkin telah menyelamatkan berjuta nyawa,” katanya.

Perjanjian yang dikenali sebagai Perjanjian Damai Kuala Lumpur itu ditandatangani oleh Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, dengan Trump serta Anwar bertindak sebagai saksi rasmi.

Trump kini berada pada peringkat akhir lawatan ke Asia selepas mengunjungi Malaysia dan Jepun, dan dijangka bertemu Presiden China, Xi Jinping, esok bagi membincangkan isu tarif menjelang Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) yang akan bermula Jumaat ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan akan mengetuai delegasi Malaysia ke AELM dan dijangka tiba di Korea Selatan esok.

Sumber: Bernama

Exit mobile version