KepenggunaanSemasa

UKM lancarkan Hijabbib untuk peguam wanita muslimah

Direka bagi mengatasi masalah keciciran bib yang wajib dipakai ketika menghadiri prosiding mahkamah

BANGI: Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada Isnin melancarkan ‘HIJABBIB’ yang menjadi fesyen hijab pertama dikhususkan untuk peguam Muslimah.

Turut hadir ketika pelancaran Hijabbib adalah Timbalan Naib Canselor, Penyelidikan dan Inovasi, Prof Datuk Dr Wan Kamal Mujani dan Pengarah Pusat Inovasi dan Pemindahan Teknologi, Prof Madya Dr Wan Mohd Hirdawani Wan Hussain.

Menurut Ketua Penyelidik HIJABBIB, Dr Saidatul Nadia Abd Aziz, HIJABBIB direka bagi mengatasi masalah keciciran bib yang wajib dipakai peguam wanita Muslim ketika menghadiri prosiding mahkamah.

Dr Saidatul Nadia Abd Aziz
Ketua Penyelidik HIJABBIB

“Saya sebenarnya seorang peguam sebelum menjadi ahli akademik. Saya sendiri kerap tertinggal bib untuk menghadiri perbicaraan dulu. Jadi, selepas berbincang, tercetuslah idea untuk sekalikan bib dengan tudung yang boleh dipakai sekali sahaja tanpa banyak lapis.” jelas Dr Saidatul ketika ditemubual wartawan.

Tambah beliau, HIJABIB dihasilkan menggunakan kain premium yang sejuk dan akan memudahkan kerja menyeterika. Ia juga menepati ukuran serta piawaian profesion guaman malah boleh dijadikan fesyen harian.

Idea HIJABBIB tercetus pada tahun 2020 dan merupakan produk inovatif penyelidikan pertama oleh Fakulti Undang-Undang UKM serta telah mendapat Anugerah Khas Perintis Inovasi dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan MyRA 2022.

Dr Saidatul Nadia yang juga Penolong Dekan (Pengajaran dan Citra) Fakulti Undang-Undang UKM, inovasi ini merupakan hasil kerjasama Prof Madya Dr Shahrul Mizan Ismail dan Dr Mohd Zamre Mohd Zahir yang menjalankan penyelidikan sejak tahun 2020.

Ini menjadi bukti Fakulti Undang-Undang UKM dari bidang Sains Sosial juga mampu untuk menghasilkan paten yang berpotensi untuk dikomersialkan. Pusat Inovasi bersedia dan sentiasa akan membantu penyelidik-penyelidik yang berminat untuk mengkomersialkan penyelidikan mereka kepada pasaran.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button