
Keputusan kerajaan British untuk mengharamkan kumpulan kempen pro-Palestin, Palestine Action, di bawah akta keganasan adalah sah di sisi undang-undang, demikian menurut keputusan Mahkamah Rayuan London pada hari Isnin.
Palestine Action, sebuah kumpulan yang ditubuhkan pada tahun 2020, seblum ini aktif menyasarkan rantaian operasi syarikat pertahanan yang mempunyai kaitan dengan Israel di Britain. Fokus utama gerakan mereka adalah terhadap Elbit Systems, yang merupakan firma pertahanan terbesar milik Israel. Ekoran tindakan agresif tersebut, kumpulan ini telah diharamkan di bawah undang-undang keganasan tahun lepas.
Kontroversi Kebebasan Bersuara dan Berhimpun
Isu ini mencetuskan kontroversi undang-undang yang sengit. Pada Februari 2026, Mahkamah Tinggi London mengejutkan ramai pihak apabila memutuskan bahawa larangan itu tidak sah kerana mengganggu hak kebebasan bersuara, hasil cabaran perundangan yang difailkan oleh pengasas bersama kumpulan itu. Walau bagaimanapun, status sekatan tersebut kekal berkuat kuasa sementara menunggu rayuan rasmi daripada pihak kerajaan.
Ketua Hakim Negara, Sue Carr, yang merupakan hakim paling kanan di England dan Wales, menegaskan bahawa mahkamah rayuan sebaliknya mendapati sekatan tersebut adalah wajar dan seimbang. Beliau menyatakan bahawa tingkah laku Palestine Action secara terang-terangan mempromosikan keganasan haram dan bukannya sebuah organisasi tindakan langsung tanpa kekerasan.
Pihak peguam yang mewakili Menteri Dalam Negeri Britain, Shabana Mahmood, mempertahankan tindakan kementeriannya semasa perbicaraan pada bulan April lalu dengan berhujah bahawa dakwaan kononnya larangan itu menjejaskan kebebasan bersuara adalah “dilebih-lebihkan dan salah”.
Sebaliknya, pengasas bersama kumpulan terbabit, Huda Ammori, mengecam keputusan tersebut dan menyifatkan sekatan tegar itu telah mencabuli hak asasi manusia untuk bersuara dan berhimpun secara aman bagi sebilangan besar komuniti yang menyokong perjuangan Palestin.
Sumber: TRT World / Reuters







