SemasaSukan

Usia bukan halangan untuk berenang dari Pulau Redang ke Pulau Lang Tengah

Walaupun umurnya sudah 47 tahun, ia tidak menghalang Ridzwan Rahim daripada menamatkan renangan sejauh 69 kilometer melalui kluster empat renangan yang dinamakan, Terengganu Four Swims.

Kluster ini terdiri daripada renangan dari Pulau Perhentian ke tanah besar (17km), Pulau Redang ke tanah besar (25km), Pulau Lang Tengah ke Pulau Perhentian (17km), dan Pulau Redang ke Pulau Lang Tengah (10km).  Pada Mac 2021, Ridzwan berenang dari Pulau Perhentian ke tanah besar dengan mengambil masa 8 jam 56 minit 30 saat. Pada Jun 2023, pasukan ini menamatkan renangan kedua (Pulau Redang ke tanah besar) dalam 20 jam 42 minit 26 saat. 

Pada Mac 2024, Ridzwan menamatkan renangan ketiga (Pulau Lang Tengah ke Pulau Perhentian) dalam 12 jam 25 minit 15 saat. Acara ini dinamakan Redang – Lang Tengah Solo Swim 2024. Detik bersejarah hari ini telah disaksikan oleh legenda renang Malaysia, Tania Bugo. Tania dari Sarawak mencatat sejarah tersendiri di Sukma 1990 apabila memenangi 13 pingat emas di kolam renang pada usia 14 tahun. 

Terengganu Four Swims ialah satu projek oleh pasukan Perhentian Channel Swim untuk merintis kluster renangan maraton baharu di perairan Terengganu. 

Mengulas mengenai acara ini, Ridzwan yang berasal dari Kajang, Selangor berkata renangan kali ini agak mudah. “Antara jam 4 pagi ke 6 pagi, keadaan laut menjadi sedikit sukar, namun saya masih mampu berenang dengan baik,” kata Ridzwan yang bekerja sebagai penulis. Seperti kesemua renangan dalam projek ini, Redang – Lang Tengah Solo Swim 2024 dibuat dengan mematuhi peraturan Persekutuan Perenang Maraton (Marathon Swimmers Federation – MSF), antaranya: 

  • Jarak renangan maraton. Jarak minimum satu renangan maraton adalah 10km tanpa bantuan arus yang ketara; 
  • Perenang kekal di dalam air sepanjang tempoh renangan dan dilarang menyentuh bot pengiring, perenang lain, atau sebarang objek terpasang atau terapung secara sengaja; 
  • Perenang hanya menggunakan kelengkapan standard seperti gogel, serkup renang dan pakaian renang biasa. Kelengkapan yang meningkatkan kelajuan atau memberi daya apungan seperti kaki sirip, tech suit dan tow float tidak dibenarkan. 

Dengan tamatnya projek ini, Ridzwan yang mewakili tim Perhentian Channel Swim akan mula membantu perenang lain untuk menyahut cabaran siri Terengganu Four Swims. “Saya tak sabar ingin melihat perenang lain membuat renangan ini, dan yakin mereka mampu memperbaharui catatan masa kami,” kata Ridzwan. 

Perhentian Channel Swim komited dalam mempromosi sukan unassisted marathon swimming dan berpusat Kem Damai Beach Resort, Pantai Bukit Keluang, Besut. 

Related Articles

Back to top button