DomestikSemasa

10 Bekas Presiden Majlis Peguam Gesa Kerajaan Persekutuan Campur Tangan Kemelut Negeri Sembilan

Sepuluh bekas presiden Majlis Peguam menggesa Kerajaan Persekutuan supaya campur tangan dengan segera bagi menyelesaikan kemelut perlembagaan berhubung kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Menerusi satu kenyataan bersama, kumpulan berkenaan menyifatkan perkembangan terbaharu yang melanda institusi beraja Negeri Sembilan itu menimbulkan kebimbangan serius terhadap kedaulatan undang-undang serta sistem Raja Berperlembagaan di negara ini.

“Kami menggesa Kerajaan Persekutuan campur tangan dan menyelesaikan isu-isu yang membimbangkan itu. Keadaan berkenaan boleh membahayakan sistem raja berperlembagaan dan masa hadapan negara — sebuah negara yang pada setiap masa perlu berlandaskan undang-undang dalam menentukan hala tuju. Tindakan yang tidak wajar dan tidak bermaruah sedemikian, serta sikap tidak menghormati undang-undang perlu dihentikan,” tegas kenyataan itu.

Kenyataan berkenaan dikeluarkan secara bersama oleh Datuk Mah Weng Kwai, Datuk Kuthubul Zaman Bukhari, Datuk Yeo Yang Poh, Datuk Ambiga Sreenevasan, Ragunath Kesavan, Datuk Lim Chee Wee, Christopher Leong, Datuk George Varughese, Salim Bashir, dan Karen Cheah Yee Lynn.

Tindakan Exco Mengbelakangkan Perlembagaan Negeri

Kumpulan peguam terbabit menegaskan bahawa tindakan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan didakwa dibuat tanpa melalui prosedur sah yang ditetapkan di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.

Perkara 10 UUTKNS 1959 memperuntukkan bahawa “siasatan lengkap oleh Undang” wajib dijalankan terlebih dahulu sebelum mana-mana Raja boleh diturunkan dari takhta. Mereka mempersoalkan sama ada siasatan sedemikian telah dilaksanakan serta sama ada Tuanku Muhriz diberi ruang untuk mengemukakan penjelasan.

Selain itu, mereka turut mempersoalkan kesahihan satu proklamasi yang didakwa bertarikh 19 April 2026, termasuk keraguan terhadap proses penandatanganannya oleh Menteri Besar pada 3 Ogos lalu. Menurut mereka, Exco tidak mempunyai sebarang kuasa perlembagaan untuk menurunkan seseorang Raja daripada takhta secara unilateral.

Selari Pendirian Jabatan Peguam Negara

Kumpulan itu turut merujuk kepada pendirian rasmi Jabatan Peguam Negara yang menegaskan bahawa proklamasi berkenaan adalah tidak sah. Jabatan Peguam Negara sebelum ini mengesahkan bahawa Menteri Besar mahupun Exco tidak memiliki kuasa unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang Dipertuan Besar, manakala Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri juga tidak akan mengambil sebarang tindakan mewartakan proklamasi tersebut.

Sehubungan itu, mereka menggesa Kerajaan Negeri Sembilan, seluruh pegawai awam, serta rakyat Malaysia agar sentiasa menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan UUTKNS 1959. Mereka turut menegaskan agar kedudukan Tuanku Muhriz sebagai satu-satunya Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang sah dan sedang memerintah terus dihormati sepenuhnya.

Sumber: BERNAMA

Related Articles

Back to top button