149 kes positif dikesan di pintu masuk Langkawi
PUTRAJAYA : Seramai 149 kes jangkitan positif Covid-19 dikesan, manakala, 186 individu lagi merupakan kontak rapat kumpulan positif berkenaan dalam saringan di pintu masuk udara dan laut ke Pulau Langkawi.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, pesakit telah diasingkan dan diberi Perintah Pemerhatian dan Pengawasan (HSO).
“Kira-kira dua minggu setelah pelaksanaan Projek Rintis Gelembung Pelancongan Domestik Langkawi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan semakan ujian saringan Covid-19 kepada seramai 40,458.
“Ia melibatkan saringan ke atas 34,038 individu di tujuh pintu masuk lapangan terbang dan 6,420 individu melalui feri di Kuala Perlis dan Kuala Kedah,” katanya menerusi hantaran Facebook.
Tambah beliau, seramai 641 individu telah menjalani ujian RT-PCR sendiri sebelum bertolak ke Pulau Langkawi dan semua keputusan menunjukkan negatif.
“Baki 2,975 orang kanak-kanak di bawah enam tahun tidak menjalani ujian Covid-19 dan dibenarkan berlepas bersama keluarga masing-masing.” katanya.
Oleh Nurshazlin Shahrom