Semasa

Sultan Johor biayai kos baik pulih rumah mangsa ribut

Baginda titah kerja pembaikan dimulakan segera

JOHOR BAHRU : Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menitahkan kos membaikpulih beberapa kediaman penduduk yang terjejas teruk akibat dibadai ribut di Tanjung Sedili, Kota Tinggi dibiaya oleh Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).
Dalam hantaran Facebook, Baginda menitahkan supaya kerja-kerja pembaikan segera dimulakan membabitkan 13 kediaman ketika ini yang rosak susulan kejadian tersebut.
Sultan Ibrahim bertitah wakil Baginda, Mejar Cina Datuk David Wong akan turut mendapatkan maklumat terperinci daripada Pegawai Daerah Kota Tinggi berhubung jumlah keseluruhan kediaman yang terjejas teruk.
“Saya telah menitahkan 13 rumah yang terjejas teruk ketika ini segera dimulakan kerja-kerja pembaikan supaya kelak penduduk dapat pulang ke kediaman masing-masing,” titah Sultan Johor kepada Royal Press Office (RPO) hari ini.
Terdahulu, Baginda Tuanku Sultan berkenan mengemudi sendiri bot laju dari Mersing ke Jeti Awam Sedili Besar, sebelum berangkat melawat kawasan perkampungan serta kediaman penduduk yang terjejas akibat bencana alam yang melanda Jumaat lalu sekali gus menyampaikan sumbangan peribadi.
Tuanku Sultan berkenan mengemudi sendiri bot laju dari Mersing ke Jeti Awam Sedili Besar
Hadir sama, Pegawai Daerah Kota Tinggi, Puan Hajah Hazlina Jalil.
Sementara itu, Datuk David Wong, berkata kerja-kerja pembaikan akan dimulakan segera membabitkan kediaman yang terjejas teruk ketika ini.
“Dari semasa ke semasa, saya akan mendapatkan maklumat daripada Pegawai Daerah Kota Tinggi berhubung kediaman-kediaman lain yang turut terjejas, termasuk kerosakan kecil,” katanya.
Oleh : Nurshazlin Shahrom

Related Articles

Back to top button