DomestikSemasa

153 Individu Disaman Kerana Tidak Pakai Tali Pinggang Keledar Dalam Bas – JPJ Melaka

Seramai 153 individu termasuk pemandu dan penumpang bas ekspres serta bas persiaran telah dikenakan saman kerana gagal memakai tali pinggang keledar sejak 1 Julai lalu, menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka.

Pengarah JPJ Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop berkata, daripada jumlah tersebut, 18 notis dikeluarkan kepada pemandu bas manakala selebihnya iaitu 135 notis dikenakan ke atas penumpang.

“Pemakaian tali pinggang keledar telah diwajibkan kepada semua pemandu dan penumpang bas ekspres serta bas persiaran bermula 1 Julai. Sehingga kini, sebanyak 350 buah bas telah diperiksa,” katanya ketika ditemui media selepas Operasi Khas Bersepadu JPJ Melaka di Batu Berendam malam tadi.

Menurutnya lagi, kesalahan tersebut dikesan hasil pemeriksaan berkala dan menerusi kaedah penyamaran pegawai JPJ dalam bas terbabit. Hasil siasatan mendapati kebanyakan penumpang dan pemandu bersikap sambil lewa meskipun telah diberikan peringatan oleh pemandu sebelum perjalanan bermula.

“Justeru, JPJ mengambil pendekatan tegas tanpa kompromi dengan mengeluarkan saman sebagai pengajaran agar kesalahan ini tidak berulang,” katanya.

Tambah beliau, sesi libat urus telah diadakan bersama pengusaha bas ekspres dan persiaran di negeri Melaka bagi memaklumkan kewajipan pemakaian tali pinggang keledar. JPJ juga telah mengedarkan bahan promosi digital seperti poster untuk dipaparkan dalam bas sebagai peringatan kepada semua pengguna.

Operasi yang dijalankan malam tadi melibatkan lebih 70 anggota penguat kuasa daripada pelbagai agensi bermula jam 8 malam hingga 12 tengah malam. Sebanyak 745 kenderaan telah diperiksa dan 197 daripadanya dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan.

— BERNAMA

Related Articles

Back to top button