PendidikanSemasa

Perisai lapisan kalis peluru daripada pelepah kelapa dihasilkan UPM

Ganti fabrik kevlar pada jaket kalis peluru

Pasukan penyelidik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menghasilkan perisai pelbagai lapisan kalis peluru yang diperbuat daripada pelepah kelapa yang boleh menggantikan fabrik kevlar pada jaket kalis peluru.

Ketua kumpulan penyelidik projek tersebut, Dr. Mohammad Jawaid berkata, inovasi yang diberi nama Techno Economic Hard Body Armour itu digunakan pada jaket sebagai jaket kalis peluru dan memenuhi spesifikasi keperluan standard National Institute of Justice (NIJ) tahap III.

sumber : https://upm.edu.my/berita/perisai_kalis_peluru_dihasil_daripada_bahagian_pokok_kelapa-57986

“Ujian balistik yang dilakukan menggunakan peluru 7.62mm kaliber sebagai peluncur tenaga kinetik tinggi, dari jarak 15 meter, dengan halaju tembakan 838±15m/s telah dijalankan di Institut Penyelidikan Sains & Teknologi Pertahanan (STRIDE) Selangor.

“Hasil ujian mendapati kedalaman ukuran trauma ketumpulan (ballistic blunt trauma measurement) baju kalis peluru pelbagai lapisan berasaskan pelepah kelapa itu adalah 26.51mm, iaitu lebih rendah daripada had masksimum ‘blunt trauma limit’ 44mm yang dibenarkan mengikut standard NIJ,” katanya menerusi satu kenyataan dikeluarkan di Serdang (Selasa).

Kumpulan penyelidik itu terdiri daripada pelajar PhD, Jesu Arockiam Navreen; Prof. Madya Dr. Edi Syams Zainudin; Prof. Ir. Ts. Dr Mohamed Thariq Hameed Sultan dan Dr. Ridwan Yahaya dari STRIDE.

Dalam pada itu, Mohammad yang juga Felo Penyelidik Kanan (Profesor) di , Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan (INTROP) UPM berkata, ia juga menjimatkan 44 peratus kos fabrikasi berbanding MA yang berasaskan Kevlar.

Menurutnya, secara umumnya MA terdiri daripada seramik (SiC), komposit (Kevlar/epoxy) dan logam (Al), namun hambatan utama menggunakan komposit berasaskan fabrik aramid atau Kevlar sebagai lapisan kedua dalam dalam MA ialah bahan yang mahal dan boleh mencemarkan alam sekitar.

“Oleh kerana sifatnya yang bukan-biodegradasi, ia boleh mencemarkan alam sekitar serta menjejaskan eko-sistem, dan disebabkan fabrik aramid lebih mahal dan meningkatkan kos keseluruhan pembuatan MA,” katanya.

Beliau berkata, jaket kalis peluru monolitik yang diperbuat daripada fabrik aramid atau keluli memerlukan tahap ketebalan yang agak besar, yang boleh menjejaskan pergerakan dan keselesaan pemakainya.

Justeru katanya, penyelidikan dan kajian yang dilakukannya adalah bagi menggantikan aramid fabrik atau Kevlar dengan bahan semulajadi (cocos nuciferea sheath/epoxy composite) yang mudah diperolehi dan mesra alam tanpa menjejaskan prestasi balistik.

Tambah beliau, Techno Economic Hard Body Armour menggunakan lapan kepingan MA, dengan masing-masing empat di bahagian depan dan empat di bahagian belakang jaket untuk menjadikannya jaket kalis peluru seberat lima kilogram.

 

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button