
Seramai 30 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian di Kemboja berjaya dihantar pulang ke tanah air dengan bantuan Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh serta pihak imigresen negara itu.
Menurut kenyataan di Facebook rasmi kedutaan, kesemua mereka berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh pada Khamis selepas melalui pemeriksaan imigresen tempatan, termasuk dengan kerjasama pegawai imigresen di Sihanoukville.
Setakat ini, tiada butiran lanjut mengenai identiti mangsa atau situasi penahanan mereka didedahkan.
Sejak Julai lalu, pihak berkuasa Kemboja memperhebatkan operasi membanteras kegiatan penipuan siber, yang menyaksikan lebih 3,000 suspek warga asing dihantar pulang. Ramai daripada mereka dilaporkan ditipu oleh agensi pekerjaan yang menawarkan kerja bergaji tinggi di kasino, namun akhirnya dipaksa bekerja di pusat penipuan dalam keadaan tidak terurus.
Kedutaan Malaysia di Phnom Penh menegaskan pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan Kemboja bagi membantu rakyat Malaysia yang terperangkap dalam sindiket penipuan siber haram di negara itu.
–– BERNAMA