
Seramai 38 individu, termasuk 25 warga tempatan dan 13 warga asing, ditahan polis dalam serbuan ke atas sebuah pesta persendirian di sebuah rumah banglo di Subang Jaya pada jam 12.30 tengah malam semalam. Pesta tersebut dihadiri kebanyakannya penuntut institut pengajian tinggi swasta (IPTS) berusia antara 18 hingga 27 tahun yang didapati leka dan khayal selepas mengambil dadah.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Azlan Wan Mamat, berkata serbuan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya. Dalam serbuan itu, empat lelaki tempatan berusia 21 hingga 25 tahun ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah. Polis turut merampas 6.5 gram bahan disyaki ganja dan 1.7 gram bahan disyaki ketamin.
“Semua pengunjung pesta dibawa ke BSJN IPD Subang Jaya untuk ujian air kencing. Hasil ujian mendapati sembilan warga tempatan dan tiga warga asing positif dadah,” kata Azlan dalam kenyataan. Kesemua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut.
Kes ini menambah senarai serbuan polis ke atas aktiviti berkaitan dadah di kawasan ini, termasuk kes rampasan ganja bernilai RM25,420 pada 14 Julai dan syabu RM7 juta pada 29 Mei tahun ini.
Sumber: Berita Harian