
Duta Besar Amerika Syarikat ke Israel, Mike Huckabee, mendesak pihak berkuasa Israel menyiasat pembunuhan Saif Mussallet, seorang warga Palestin-Amerika berusia 20 tahun, yang diserang hingga mati oleh peneroka haram Zionis di Tebing Barat yang diduduki. Kejadian tragis ini berlaku di bandar Sinjil pada Jumaat lalu.
“Saya meminta Israel menyiasat secara agresif pembunuhan Saif Mussallet, seorang warganegara Amerika yang melawat keluarga di Sinjil apabila dia dipukul hingga mati,” kata Huckabee dalam kenyataan di platform X pada hari Selasa. “Mesti ada akauntabiliti untuk perbuatan jenayah dan pengganas ini. Saif baru berusia 20 tahun.”
Menurut keluarga mangsa, Mussallet, yang berasal dari Florida, diserang oleh sekumpulan peneroka yang memukulnya dan menghalang pasukan perubatan kecemasan daripada memberi bantuan selama tiga jam. Beliau meninggal dunia sebelum sempat dibawa ke hospital.
Beberapa penggubal undang-undang AS turut menyuarakan ucapan takziah dan menggesa Jabatan Negara melancarkan siasatan sendiri terhadap insiden ini. Pembunuhan ini berlaku di tengah peningkatan keganasan oleh tentera Israel dan peneroka haram Zionis di Tebing Barat yang diduduki.
Sumber: TRT World & Agensi