DomestikSemasa

Lebih 3,000 Telaga Tiub Diaktifkan Hadapi Cuaca Panas Melampau

Kerajaan mengaktifkan kira-kira 3,300 telaga tiub (tubewell) di kawasan berisiko tinggi kebakaran sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi cuaca panas melampau dan cuaca kering berpanjangan sepanjang Monsun Barat Daya.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata telaga tersebut dibersih dan dioperasikan semula oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), terutamanya di tanah gambut dan kawasan hutan.

“Telaga ini telah lama disediakan dan apabila Monsun Barat Daya melanda, pengoperasian dilakukan segera dengan kerjasama bomba dan Jawatankuasa Bencana di peringkat daerah,” katanya pada sidang media selepas menyertai operasi pembenihan awan di Empangan Bukit Merah, Perak, di Pangkalan Udara Subang hari ini.

Monsun Barat Daya dijangka berterusan hingga pertengahan Oktober, memerlukan agensi berkaitan berada pada tahap kesiapsiagaan optimum, khususnya di kawasan merekodkan cuaca panas melampau.

Ahmad Zahid berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut mengeluarkan nasihat kesihatan awam, termasuk penjadualan semula aktiviti luar bagi pelajar sekolah, untuk mengurangkan pendedahan terhadap suhu tinggi.

Sebelum ini, operasi pembenihan awan oleh NADMA di Empangan Bukit Merah berjaya menurunkan hujan lebat 45 minit selepas pelaksanaan, membantu menambah bekalan air yang kritikal susulan paras empangan hanya pada 12.21 peratus kapasiti.

— BERNAMA

 

Related Articles

Back to top button