DuniaSemasa

Lawatan YDPA Ke Rusia Dijangka Perkukuh Kerjasama Teknologi Tinggi dan ASEAN

Lawatan negara Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ke Rusia dijangka membuka lembaran baharu dalam kerjasama teknologi tinggi, perdagangan, dan hubungan pertahanan antara Malaysia dan Rusia.

Pengarah Institut Kajian Asia dan Afrika, Moscow State University, Prof. Alexey Maslov berkata pertemuan antara Seri Paduka Baginda dan Presiden Rusia Vladimir Putin pada 6 Ogos nanti akan turut merangkumi perbincangan mengenai kerjasama Malaysia-Rusia dalam konteks ASEAN, memandangkan Malaysia mempengerusikan blok serantau itu pada tahun ini.

“Antara perkara yang dibincangkan termasuk pembekalan sumber tenaga Rusia ke Malaysia serta pembelian beberapa produk Malaysia seperti buah-buahan dan tekstil. Namun, fokus utama berkemungkinan tertumpu kepada kerjasama dalam bidang teknologi tinggi,” katanya kepada agensi berita Sputnik.

Maslov menambah, Malaysia dilihat sebagai salah satu negara paling maju di Asia Tenggara dalam bidang sains dan pendidikan tinggi. Potensi kerjasama termasuk pengeluaran bersama mikropemproses, papan sistem, dan pelbagai teknologi berkaitan.

Lawatan Sultan Ibrahim ini mencatat sejarah sebagai lawatan negara pertama oleh seorang ketua negara Malaysia ke Rusia sejak hubungan diplomatik kedua-dua negara terjalin pada 1967. Seri Paduka Baginda dijadual berada di Rusia dari 5 hingga 10 Ogos, dan selain bertemu Putin, turut akan mengadakan pertemuan lain yang menyentuh isu hubungan dua hala, agenda serantau, dan perkembangan geopolitik antarabangsa.

Sumber – Bernama

Related Articles

Back to top button