EkonomiSemasa

Eksport Sel PV Ke India Lonjak Hampir Dua Kali Ganda, Tampung Kejatuhan Pasaran AS

Eksport sel fotovoltaik (PV) Malaysia ke India melonjak 88 peratus pada 2024, mencecah RM4.65 bilion berbanding RM2.47 bilion pada 2023, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Kenaikan ini membantu mengimbangi penurunan eksport ke Amerika Syarikat (AS) susulan tamatnya pengecualian cukai import produk solar dari Asia Tenggara pada Jun 2024. Sebelum itu, AS memberikan pengecualian cukai bermula 7 Jun 2022 untuk merancakkan industri solar domestiknya.

Bagi mencari pasaran baharu, MITI melalui pameran teknologi hijau MIHAS dan kerjasama dengan syarikat solar tempatan telah mengenal pasti UAE dan Arab Saudi sebagai destinasi prospektif.

Data MATRADE menunjukkan jumlah eksport sel PV berbentuk modul dan panel pada 2024 bernilai RM11.2 bilion. AS kekal sebagai pasaran terbesar dengan RM5.05 bilion (45 peratus), diikuti India RM3.69 bilion (33 peratus), Vietnam RM1.34 bilion (12 peratus), manakala selebihnya ke negara seperti Pakistan, Ukraine, Turkiye, Filipina, Korea Selatan dan Argentina.

MITI turut mengadakan sesi libat urus bersama Kementerian Kewangan dan Kementerian Peralihan Tenaga bagi memperkenalkan dasar sokongan industri solar tempatan, termasuk kuota barangan tempatan untuk projek dalam negara.

— BERNAMA

Related Articles

Back to top button