DuniaSemasa

Agong Lawat Pusat Inovasi Moscow, Tinjau Teknologi Dron Terkini Rusia

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan melawat Tochka Kipeniya, sebuah pusat teknologi dan inovasi terkemuka di Moscow, sebagai sebahagian daripada lawatan negara Baginda ke Rusia.

Ketibaan Seri Paduka di pusat tersebut disambut mesra oleh Penasihat kepada Presiden Persekutuan Rusia, Dimitry Peskov dan Naib Presiden Kanan Institut Sains dan Teknologi Skolkovo (Skoltech), Alexey Ponomarev.

Mengiringi Baginda ialah Menteri Pertahanan merangkap Menteri Pengiring, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin, serta Duta Besar Malaysia ke Rusia, Datuk Cheong Loon Lai.

Sepanjang lawatan selama satu jam itu, Sultan Ibrahim diberi taklimat oleh pihak penganjur mengenai pelbagai inisiatif pembangunan teknologi yang sedang dijalankan di Rusia.

Baginda turut meninjau pameran teknologi dron buatan tempatan, yang mempamerkan pelbagai jenis model dengan fungsi khusus untuk kegunaan industri, pertanian, keselamatan, dan misi kemanusiaan. Paparan tersebut menyerlahkan keupayaan Rusia yang semakin maju dalam bidang sistem penerbangan tanpa juruterbang (UAV).

Lawatan ini merupakan sebahagian daripada agenda rasmi Yang di-Pertuan Agong di Rusia, yang turut bertujuan mengukuhkan hubungan dua hala dalam bidang teknologi tinggi, penyelidikan, dan inovasi antara kedua-dua negara.

Related Articles

Back to top button