
Ikon pop dunia, Madonna, menggesa Pope Leo XIV untuk segera melawat Gaza yang kini dikepung, demi “memberi cahaya” dan membantu kanak-kanak yang sedang menderita akibat serangan berterusan Israel.
Melalui hantaran di platform X pada Isnin, Madonna merayu:
“Bapa Suci, tolong pergi ke Gaza dan bawa cahayamu kepada anak-anak sebelum terlambat. Sebagai seorang ibu, saya tidak sanggup melihat penderitaan mereka. Anak-anak dunia adalah milik semua orang.”
Beliau menegaskan Pope adalah antara satu-satunya individu yang tidak boleh dihalang masuk ke wilayah itu, justeru diharapkan dapat membuka “pintu kemanusiaan” untuk menyelamatkan nyawa kanak-kanak tidak berdosa.
Madonna turut menegaskan beliau tidak berpihak atau menuding jari, sebaliknya menyeru semua pihak untuk melakukan apa sahaja demi menghentikan penderitaan. “Politik tidak boleh menjejaskan perubahan. Hanya kesedaran yang boleh,” katanya.
Penyanyi itu berkata permintaan ini juga bersempena ulang tahun kelahiran anaknya, Rocco, sebagai simbol harapan dan kemanusiaan. Beliau turut mengajak pengikutnya menderma kepada pertubuhan kemanusiaan seperti World Central Kitchen.
Situasi di Gaza terus meruncing apabila lebih 61,500 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh sejak serangan Israel bermula, majoritinya wanita dan kanak-kanak. Menurut agensi berita rasmi Palestin, WAFA, sekitar 11,000 lagi mangsa dikhuatiri tertimbus di bawah runtuhan bangunan.
Pakar antarabangsa menganggarkan jumlah korban sebenar mungkin mencecah 200,000 orang. November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant atas dakwaan jenayah perang dan jenayah kemanusiaan di Gaza.
Gaza kini digambarkan sebagai “runtuhan besar” dengan hampir semua penduduknya dipindahkan secara paksa, sementara akses kepada makanan, air, dan bantuan kemanusiaan kekal terhad di bawah sekatan Israel.
Sumber: TRT World & Agensi