
Menteri Luar Sepanyol, Jose Manuel Albares menegaskan bahawa negaranya dan Kesatuan Eropah (EU) tidak akan mengiktiraf sebarang pengilhakan unilateral Gaza atau Tebing Barat oleh Israel, sambil mengutuk peningkatan operasi ketenteraan rejim itu di wilayah berkenaan.
“Saya bersuara serta-merta, saya mengutuknya dengan tegas: baik kami mahupun Kesatuan Eropah tidak akan mengiktirafnya,” kata Albares dalam temu bual bersama penyiar Sepanyol, RTVE.
Menurut beliau, langkah Israel itu hanya akan membawa lebih banyak kematian dan penderitaan, menghalang pembebasan tebusan serta menjejaskan kestabilan di Timur Tengah.
Albares menggesa gencatan senjata kekal, penamatan sekatan ke atas Gaza, kemasukan besar-besaran bantuan kemanusiaan, pembebasan segera semua tebusan dan pelaksanaan penyelesaian dua negara yang dijamin keselamatannya.
Israel kini berdepan kecaman antarabangsa ekoran serangan besar-besaran ke atas Gaza sejak Oktober 2023 yang mengorbankan lebih 61,000 penduduk Palestin, memusnahkan infrastruktur dan mencetuskan kebuluran meluas.
Menyentuh isu berasingan, Albares turut menegaskan pendirian Sepanyol dalam konflik Rusia-Ukraine, iaitu menolak sebarang perjanjian yang memberi ganjaran kepada penceroboh, sambil menekankan bahawa hanya kerajaan Ukraine yang berhak menentukan masa depan negaranya.
Sumber – TRT World