
Ketua Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz, menegaskan keutamaan pasukannya kini adalah memperkukuh pertahanan walaupun mencatat kemenangan dramatik 5-3 ke atas Negeri Sembilan FC dalam aksi Liga Super 2025/2026 di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.
Munoz mengakui JDT bermula perlahan sehingga membenarkan pasukan pelawat membuka jaringan menerusi serangan balas pada lima minit pertama. Situasi itu mendedahkan kelemahan benteng pertahanan yang perlu segera diperbaiki.
“Pemain sedikit leka di awal permainan. Kita perlu lebih konsisten, kuat di kedua-dua bahagian dan sasaran utama adalah menang tanpa bolos,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Jurulatih dari Sepanyol itu turut menekankan kepentingan belajar daripada situasi sebegitu, termasuk menyesuaikan strategi sama ada beraksi di laman sendiri atau tempat lawan.
Negeri Sembilan, katanya, menggunakan kelajuan di bahagian sayap untuk mencipta ancaman, manakala JDT gagal bersedia sepenuhnya ketika situasi sepakan percuma dan serangan balas pantas.
Walaupun dibolosi tiga gol, Munoz memuji barisan serangan Harimau Selatan yang menghasilkan 25 percubaan tepat, beberapa sepakan sudut, dan dua gol daripada situasi sukar. Antara yang menyerlah ialah Jon Irazabal dengan dua gol pembakar semangat, selain jaringan Jaoa Figueiredo, Arif Aiman Mohd Hanapi dan Bergson da Silva yang menutup kemenangan pada masa tambahan.
Munoz turut menghargai sokongan penyokong tuan rumah walaupun jumlah kehadiran berkurang kerana perlawanan berlangsung pada hari bekerja.
“Saya harap aksi seterusnya akan menyaksikan lebih ramai penyokong hadir memberi sokongan,” ujarnya.
— BERNAMA