
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyalurkan sumbangan kepada dua penerima di Taman Balok Jaya, Kuantan, iaitu pesakit kanser pangkal hidung tahap empat, Mohd Sharul Ikmal, serta seorang pesara tentera, Pak Nik Soh, yang mengalami masalah saraf mata hingga hampir hilang penglihatan.
Sumbangan itu disampaikan oleh Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi, yang mewakili Anwar dalam program Ziarah MADANI.
Dalam satu hantaran di Facebook, Ahmad Farhan menzahirkan rasa simpati terhadap penderitaan yang ditanggung Mohd Sharul, 27, yang terpaksa berjuang melawan penyakit pada usia muda selain mempunyai seorang anak kecil yang masih memerlukan perhatian seorang ayah.
“Lebih memilukan apabila beliau perlu menempuh cabaran besar ini di saat keluarga masih membina kehidupan. Perdana Menteri berharap agar sumbangan ini sedikit sebanyak dapat memberi kekuatan,” katanya.
Mengenai Pak Nik Soh, Ahmad Farhan menjelaskan bahawa bekas anggota tentera itu diuji masalah saraf mata sejak tiga tahun lalu sehingga kini bergantung pada sokongan anak-anak serta jiran tetangga untuk meneruskan kehidupan.
“Seorang ayah yang dulunya gagah berkhidmat untuk negara kini terpaksa berdepan dengan keadaan serba kekurangan. Bagi pihak Perdana Menteri, saya hulurkan sumbangan sebagai tanda solidariti dan kasih sayang. Namun lebih penting, kita semua perlu memberikan doa, perhatian dan sokongan berterusan agar mereka tidak berjuang sendirian,” katanya.
Beliau turut mendoakan agar kedua-dua keluarga terbabit dikurniakan kekuatan, kesembuhan dan ketabahan dalam menempuh ujian.
— BERNAMA