
Persatuan Jurulatih Itali (AIAC) menggesa Israel digantung daripada semua pertandingan bola sepak antarabangsa sebagai tindak balas terhadap krisis kemanusiaan di Gaza.
Agensi berita ANSA melaporkan, AIAC telah menghantar surat kepada Presiden Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC), Gabriele Gravina, pada Selasa lalu untuk meminta cadangan penggantungan Israel dikemukakan kepada UEFA dan FIFA.
Gesaan itu dibuat menjelang aksi kelayakan Piala Dunia antara Itali dan Israel yang dijadual berlangsung pada September hingga Oktober ini.
Presiden AIAC, Renzo Ulivieri, menegaskan inisiatif tersebut bukan sekadar simbolik, sebaliknya satu “pilihan yang perlu” berasaskan kewajiban moral.
“Nilai kemanusiaan yang menjadi asas sukan menuntut kita menentang segala bentuk penindasan yang mengakibatkan penderitaan dahsyat,” katanya.
Sejak Oktober 2023, lebih 62,000 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh akibat serangan Israel di Gaza, manakala jutaan yang lain terperangkap dalam krisis kelaparan serta kemusnahan besar-besaran di wilayah itu.
— BERNAMA