
Usaha kerajaan mengatasi ancaman pengintipan yang berpotensi menjejaskan keselamatan negara serta kebolehan Malaysia menganjurkan semula perlumbaan Formula 1 (F1) menjadi antara tumpuan utama sidang Dewan Rakyat hari ini.
Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat yang disiarkan di portal Parlimen, Roy Angau Gingkoi (GPS-Lubok Antu) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, meminta Menteri Dalam Negeri menjelaskan langkah pencegahan dan intervensi bagi membendung kegiatan pengintipan yang boleh menjejaskan kedaulatan dan keselamatan negara.
Dalam sesi sama, Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) mengemukakan soalan kepada Menteri Belia dan Sukan berhubung potensi Malaysia kembali menganjurkan F1 serta perancangan untuk memaksimumkan penggunaan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) agar memberi manfaat besar kepada negara.
Turut dibangkitkan, Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) yang meminta penjelasan daripada Perdana Menteri sama ada amalan perolehan secara rundingan terus masih diamalkan oleh Tabung Haji, sebuah badan berkanun di bawah tanggungjawab Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Selain itu, Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) bertanyakan kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengenai perancangan menjadikan Sarawak sebagai hab keterjaminan makanan dalam dasar baharu, selaras dengan kejayaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030) negeri itu.
Sementara itu, Dr Halimah Ali (PN-Kapar) meminta Menteri Kerja Raya menyatakan usaha menangani kerosakan jalan utama di kawasan Kapar, termasuk laluan ke kilang serta Northport yang sering rosak akibat kenderaan berat berulang-alik dan parkir tidak terkawal di tepi jalan.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) pula mengemukakan soalan kepada Menteri Kesihatan mengenai tahap ancaman varian COVID-19 terkini terhadap kumpulan berisiko tinggi, memandangkan negara mencatatkan 57 kematian akibat virus itu tahun lalu.
Selepas sesi soal jawab, Dewan Rakyat akan meneruskan pembentangan bacaan kali pertama tiga rang undang-undang iaitu RUU Bantuan Guaman dan Pembelaan Awam 2025, RUU Pembaharuan Semula Bandar 2025 serta RUU Pelesenan Tenaga Atom (Pindaan) 2025.
Persidangan juga akan diteruskan dengan sesi penggulungan perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) oleh kementerian berkaitan.
Sidang Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 24 hari sehingga 28 Ogos.
— BERNAMA