
Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merakam keterangan 19 individu bagi membantu siasatan berhubung kes serangan terhadap anak lelaki bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli, di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya pada 13 Ogos lalu.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, individu berkenaan termasuk ahli keluarga terdekat Rafizi, pemandu, pekerja serta beberapa saksi kejadian.
“Selain itu, polis turut mengambil dan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.
Menurut beliau, polis masih menunggu laporan kimia daripada pihak hospital mengenai cecair yang disuntik kepada mangsa berusia 12 tahun itu.
“Setakat ini, keadaan mangsa stabil dan doktor masih menjalankan pemantauan rapi terhadapnya,” jelasnya.
Dalam pada itu, mengulas dakwaan Rafizi bahawa isterinya menerima pesanan berunsur ugutan, Mohd Khalid berkata siasatan mendapati nombor telefon yang digunakan didaftarkan atas nama seorang warga asing. Polis kini sedang berusaha mengenal pasti individu terbabit.
Terdahulu, media melaporkan anak lelaki Rafizi diserang kira-kira jam 2 petang di kawasan menurunkan penumpang sebuah pusat beli-belah di Putrajaya. Insiden itu dipercayai melibatkan dua lelaki berpakaian hitam serta bertopi keledar yang menaiki sebuah motosikal, sebelum salah seorang daripadanya mengheret mangsa dan mencucuknya dengan jarum suntikan.
— BERNAMA