
Malaysia melakar sejarah gemilang apabila menyapu bersih pingat emas, perak dan gangsa dalam acara 100 meter (m) lelaki di Sukan Asia Tenggara (SEA) Pekak 2025 yang berlangsung di Pusat Pelatihan Olahraga Pelajar (PPOP) Ragunan, Jakarta Selatan, hari ini.
Atlet negara, Muhammad Zamir Azman muncul juara selepas menamatkan larian dengan catatan masa 11.06 saat, sekali gus memperbaharui rekod kejohanan. Pingat perak dimenangi rakan sepasukan, Hazrul Shah Hamri (11.09s) manakala kembar Zamir, Muhammad Zumar Azman, meraih gangsa dengan catatan 11.22s.
Rekod baharu itu mengatasi catatan lama 11.12s milik Nur Shahdan Muhamad, juga atlet negara, pada edisi sulung di Kuala Lumpur 2022.
Kejayaan itu lebih manis apabila ia hadir menjelang sambutan Hari Kebangsaan 31 Ogos ini, sekaligus mengangkat martabat kontinjen negara dalam acara raja trek berprestij tersebut.
“Saya terus sujud syukur kerana terlalu gembira dengan kemenangan ini. Terima kasih kepada keluarga dan semua yang sentiasa mendoakan serta memberi sokongan. Ini pingat emas pertama dalam karier saya sejak mula aktif berlari pada usia 18 tahun,” kata Zamir, 20, yang berlatih bersama Hazrul dan Zumar sejak tujuh bulan lalu.
Beliau berkata mereka kini menyasarkan untuk membawa cabaran negara ke Deaflympics Tokyo 2025 pada November nanti.
Dalam acara 100m wanita pula, Nur Andrina Zainuddin menambah koleksi emas buat Malaysia selepas menewaskan rakan senegara Steffy Stacy Lakim (13.63s) serta wakil tuan rumah, Selly Dwi Juniarti (13.88s).
“Alhamdulillah, emas ini untuk ibu, ayah dan semua yang menyokong saya. Malam tadi saya tidak dapat tidur kerana berdebar, tetapi pagi ini keyakinan mengatasi segalanya. Emas ini menjadi bukti usaha tidak sia-sia,” katanya.
Nur Andrina kini memberi tumpuan kepada acara 200m wanita esok dengan harapan menambah satu lagi emas peribadi.
— BERNAMA