SemasaSukan

Sukan SEA Pekak 2025: Azlan Kuste Sumbang Emas Pertama Malaysia

Atlet olahraga negara, Azlan Kuste, mencipta detik bersejarah apabila menghadiahkan pingat emas pertama buat Malaysia di Sukan Asia Tenggara (SEA) Pekak 2025 yang berlangsung di Pusat Pelatihan Olahraga Pelajar (PPOP) Ragunan, Jakarta Selatan hari ini.

Kejayaan manis itu hadir melalui acara kegemarannya, 800 meter lelaki, sekali gus mengekalkan statusnya selaku juara bertahan selepas menawan edisi sulung Kuala Lumpur 2022 dengan catatan masa 2 minit 03.97 saat.

Prestasi cemerlang Malaysia turut digandakan menerusi rakan sepasukan, Aidil A. Asyraf Juakim, yang berjaya meraih pingat perak dengan catatan 2:05.21s. Manakala wakil Brunei, Md Amiruddin Md Zain, membawa pulang pingat gangsa dengan catatan 2:12.20s.

Sorakan gemuruh kontinjen Malaysia di tepi balapan memberi suntikan semangat luar biasa buat Azlan dan Aidil, yang melintasi garisan penamat sambil mengangkat tangan tanda kemenangan. Aksi itu menjadi simbol permulaan indah buat perjuangan skuad negara di bumi Indonesia.

Sukan SEA Pekak edisi kedua ini berlangsung sehingga 26 Ogos 2025.

— BERNAMA

Related Articles

Back to top button