PalestinSemasa

Ahli Parlimen Nyata Sokongan Padu Terhadap Gerakan Sumud Nusantara

Ahli Parlimen daripada pelbagai parti hari ini menyatakan sokongan penuh terhadap gerakan solidariti kemanusiaan Sumud Nusantara serta inisiatif 1000 Flotilla Nusantara Break the Siege, yang diterajui Malaysia bersama rangkaian serantau dan antarabangsa bagi menamatkan sekatan Israel terhadap Gaza.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC), Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar), berkata pihaknya mengajak orang ramai untuk hadir ke Perhimpunan Bersamamu Gaza dan 1000 Flotilla Nusantara Break the Siege yang akan diadakan di Dataran Merdeka pada Ahad ini.

“BBC menyokong penuh inisiatif ini yang merupakan simbol kebersamaan rakyat Malaysia dengan perjuangan rakyat Palestin. Ahli Parlimen juga beriltizam membantu misi flotilla bagi memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan tanpa halangan,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen, hari ini.

Beliau menegaskan sekiranya Israel bertindak agresif terhadap misi tersebut, Malaysia menyokong tindakan undang-undang dan diplomatik antarabangsa yang wajar bagi memastikan rejim Zionis dipertanggungjawabkan.

Gerakan Sumud Nusantara dan 1000 Flotilla Nusantara Break the Siege menghimpunkan pelbagai pihak dari rantau Asia Tenggara dan antarabangsa untuk menzahirkan solidariti berterusan, sekali gus menekankan pendirian Malaysia yang konsisten dalam membela hak rakyat Palestin.

— BERNAMA

Related Articles

Back to top button