
Sebagai simbol solidariti terhadap lebih 18,000 kanak-kanak yang terkorban di Gaza akibat kekejaman berterusan rejim Israel, ribuan beruang teddy akan dihimpunkan membentuk peta Palestin terbesar di Dataran Merdeka hujung minggu ini.
Menurut hantaran di akaun Facebook rasmi Sumud Nusantara, kempen itu diadakan sempena Karnival Sumud Nusantara dengan tujuan mengingatkan dunia tentang penderitaan kanak-kanak tidak berdosa selain mengumpul dana bagi misi kemanusiaan Gaza.
Kempen berkenaan mengajak orang ramai membawa atau membeli beruang teddy untuk diletakkan dalam formasi sebagai simbol kasih sayang serta mesej solidariti daripada rakyat Nusantara kepada dunia.
“Setiap teddy bear yang anda bawa atau beli bukan sekadar patung mainan, tetapi lambang cinta, doa, dan solidariti kita bersama mereka yang telah pergi,” menurut kenyataan itu.
Sebahagian hasil jualan teddy bear akan disalurkan kepada usaha bantuan kemanusiaan di Gaza termasuk penyediaan keperluan asas penduduk terjejas serta memberi harapan kepada rakyat Palestin.
Acara kemuncak kempen dijadual berlangsung pada 24 Ogos (Ahad) di Dataran Merdeka, dengan penganjur menyasarkan rekod jumlah beruang teddy paling banyak pernah diletakkan di atas peta sebagai simbol solidariti dan suara lantang untuk Gaza.
Orang ramai yang berminat boleh menyertai kempen ini serta mendapatkan maklumat lanjut melalui akaun Facebook rasmi Sumud Nusantara.
Selain itu, lebih 2,000 peserta dijangka menyertai Konvoi Darat Sumud Nusantara yang memulakan perjalanan hari ini dari seluruh negara menuju ke Dataran Merdeka bagi menghadiri Malam Himpunan dan Selawat – MalaysiaKu Bersama Gaza pada Ahad.
Lebih 1,000 kenderaan dari seluruh negara serta lapan negara luar akan menyertai konvoi solidariti itu, membawa bendera Palestin menuju ke Dataran Merdeka bagi mewujudkan panorama perpaduan jarang disaksikan di tanah air.
“Inilah saatnya kita buktikan bahawa rakyat Nusantara tidak pernah berdiam diri melihat penderitaan Gaza. Dari Utara, Selatan, Pantai Timur dan Tengah, ribuan kenderaan akan bergerak menuju ke Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
“Konvoi Darat Sumud Nusantara akan merentasi negeri-negeri dengan semangat perjuangan, membawa mesej jelas kepada dunia, cukup sudah diam, cukup sudah kepungan. No More Silence. No More Siege,” kata kenyataan itu.
Malam Himpunan dan Selawat – MalaysiaKu Bersama Gaza merupakan acara kemuncak Karnival Sumud Nusantara 2025 yang berlangsung dari 22 hingga 24 Ogos, anjuran bersama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Cinta Gaza Malaysia (CGM).
Acara itu dijangka menghimpunkan lebih 100,000 peserta dari seluruh negara serta bakal disertai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dijadual menyampaikan syarahan perdana dan ucapan perasmian.
— BERNAMA