DuniaSemasa

Anwar lakukan lawatan bersejarah ke Ethiopia untuk perkukuh hubungan dengan Kesatuan Afrika

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjalani lawatan bersejarah ke Ethiopia mulai 18 November ketika Malaysia berusaha mengukuhkan hubungan dengan benua Afrika melalui ibu pejabat Kesatuan Afrika di Addis Ababa. Lawatan ini merupakan kunjungan pertama Anwar ke Ethiopia selain lawatan balas susulan kunjungan rasmi Perdana Menteri Ethiopia Dr Abiy Ahmed Ali ke Malaysia pada Oktober tahun lepas.

Lawatan itu bertepatan dengan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik Malaysia-Ethiopia sejak Januari 1965 dan dijangka membuka peluang kerjasama dalam pelbagai sektor. Anwar yang juga Menteri Kewangan akan diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Zaliha Mustafa, pegawai kanan kerajaan serta delegasi perniagaan.

Lawatan ini juga bersempena pembukaan semula Kedutaan Besar Malaysia di Addis Ababa pada 23 September 2025, sebagai tanda komitmen Malaysia memperkukuh hubungan dua hala. Anwar dijadual menerima sambutan rasmi di Istana Negara bersama Dr Abiy Ahmed dan mengadakan pertemuan dua hala bagi membincangkan kerjasama dalam perdagangan, pelaburan, pertanian, komoditi, kesihatan, pendidikan serta hubungan antara rakyat.

Beberapa perjanjian dan memorandum persefahaman (MoU) dijangka dimeterai, termasuk dalam bidang kesihatan, perkhidmatan udara, pelancongan, serta kerjasama antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Pentadbiran Bandaraya Addis Ababa untuk dialog strategik jangka panjang. Anwar juga akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Ethiopia Taye Atske Selassie dan bertemu Pengerusi Suruhanjaya Kesatuan Afrika, Mahmoud Ali Youssouf dari Djibouti, selain menyampaikan syarahan khas bertemakan ‘Menghubungkan Peradaban, Membina Masa Hadapan: Memperkukuh Kerjasama Afro-Malaysia demi Kemakmuran Bersama’.

Pada 2023, perdagangan dua hala Malaysia-Ethiopia berjumlah RM446.8 juta dengan eksport Malaysia ke Ethiopia bernilai RM358.6 juta, termasuk produk elektrik dan elektronik, minyak sawit, produk pertanian berasaskan minyak sawit, kimia, tekstil, pakaian dan kasut. Ethiopia merupakan persinggahan pertama rangka lawatan Anwar ke Afrika, sebelum ke Johannesburg, Afrika Selatan dan Nairobi, Kenya.

Sumber: BERNAMA

Related Articles

Back to top button